Powered By Blogger

Logo baru Liga M dilancar Rabu


BAYANGAN logo baru Liga M yang akan dilancarkan Rabu ini.


REKA bentuk logo baru saingan bola sepak Liga Malaysia (Liga M) 2011 hanya akan didedahkan secara rasmi pada Rabu ini, tiga hari sebelum sepak mula Liga Super pada Sabtu depan.
Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tan Sri Annuar Musa yang juga Pengerusi Malaysia Super League Sdn. Bhd. (MSL) berkata, pelancaran logo itu akan dibuat ketika sesi taklimat pasukan berlangsung, Rabu ini.
"Pada 26 Januari ini (Rabu) kita akan adakan satu perjumpaan dengan wakil semua pasukan bertanding dalam Liga Super dan Liga Perdana untuk sesi taklimat berhubung peraturan dan perjalanan Liga M musim ini.
"Logo baru Liga Super dan Liga Perdana juga akan kita perkenalkan pada hari tersebut. Saya rasa masih sempat untuk setiap pasukan tampal terus patch logo tersebut di jersi masing-masing," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Ditanya tentang beberapa contoh reka bentuk dikatakan logo baru Liga M 2011 yang tersebar di laman sosial Facebook dan laman web kelab-kelab penyokong bola sepak tempatan sejak beberapa minggu lalu, Annuar berkata, ia merupakan antara reka bentuk cadangan.
"Memang ia merupakan antara sample logo untuk kita muktamadkan. Kita juga melihat reaksi dan komen peminat tentang logo-logo tersebut. Apa pun logo rasmi yang dipilih akan didedahkan Rabu ini.
"Tentang siapa pula title sponsor untuk Liga M 2011, itu terpulang kepada Astro untuk mengumumkannya," jelas Annuar.
Astro menjadi rakan penaja baru Liga M selama empat musim dari 2011 hingga 2014 menggantikan Telekom Malaysia Berhad (TM), penaja utama Liga M selama tujuh musim dari 2004 hingga 2010.
Bagaimanapun kontrak FAM bersama TM hanya akan berakhir pada Rabu ini dan atas sebab itulah FAM hanya boleh mengumumkan title sponsor baru selepas tarikh tersebut.
Saingan Liga Super bermula 29 Januari ini dengan tujuh perlawanan menyaksikan Selangor bertemu Kelantan di Shah Alam, Terengganu bertemu Sabah, Kuala Lumpur bertemu Perak, Johor FC bertemu Felda United, Kedah bertemu T-Team, Negeri Sembilan bertemu Harimau Muda A dan Pahang bertemu Perlis.
Liga Perdana pula bermula 31 Januari membabitkan lima perlawanan iaitu USM bertemu PDRM, ATM bertemu MP Muar, PKNS bertemu Sime Darby, Johor bertemu Pos Malaysia dan Pulau Pinang bertemu Sarawak manakala aksi Harimau Muda B bertemu SDM Navy berlangsung sehari selepas itu.

Catatan Popular